KUALA LUMPUR 23 Mei -  Sekurang-kurangnya 10 individu bergelar `habib dan sheikh; dari negara jiran yang akfif menjalankan kegiatan keagamaan di negara ini sedang dipantau oleh pihak berkuasa agama Malaysia.

Kesemua mereka dipantau kerana didakwa cuba mempromosikan amalan tarekat yang dipercayai tidak mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam negara ini.

Walaupun mendakwa mengamalkan ajaran tarekat sahih, habib-habib ini dipantau kerana dibimbangi mempunyai kaitan dengan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah yang difatwa haram oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2002.

Menurut sumber, habib-habib ini turut dikesan mempunyai kaitan dengan pemimpin dan auliah Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah yang masih diamalkan di negara jiran.

“Tarekat tersebut difatwa haram di Malaysia namun sejak dua tahun kebelakangan ini, kemunculan habib dari negara jiran amat mendadak malah sangat diterima baik oleh masyarakat negara. Kita bimbang kemunculan mereka mempunyai kaitan dengan tarekat itu dan cuba mempengaruhi masyarakat Islam dengan amalan-amalan yang meragukan.

“Walaupun zikir dan qasidah yang biasa dituruti oleh masyarakat negara tidak bertentangan namun cara amalannya seperti berzikir dalam keadaan meragukan dan melampaui batas serta dianggap terpesong daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” kata sumber kepada Utusan Malaysia.

Menurut sumber itu lagi, lebih membimbangkan, `habib dan sheikh’ yang sedang dipantau sangat dikenali masyarakat umum dan sering muncul dalam pelbagai program keagamaan.

“Jika sebelum ini 'habib atau sheikh’ daripada Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyya masuk ke Malaysia dan menyebar amalannya kepada kelompok kecil sahaja tetapi hari ini, caranya amat berbeza.

`Habib-habib’ itu sangat diterima baik oleh masyarakat Islam negara ini dan menyebabkan mereka lebih terbuka untuk mempamerkan amalan-amalan tarekat tersebut,” ujar sumber.

Ditanya tentang pengaruh `habib-habib’ daripada tarekat ini, sumber berkata, walaupun masih terkawal namun pengaruhnya tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Mereka kini berjaya mempengaruhi VVIP (orang kenamaan) yang kini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pihak berkuasa agama.

“Mereka juga bijak apabila sanggup dieksploitasi syarikat-syarikat besar yang menaja program bagi mempromosi produk syarikat tersebut. Program-program percuma ini sebenarnya satu platform sangat baik untuk menyebarkan ajaran dan amalan mengikut tarekat tersebut kepada orang ramai,” katanya.

- Mingguan Malaysia