Serpihan berkenaan sepanjang dua meter yang ditemui kelihatan seolah-olah sebahagian daripada sayap ditemui oleh orang ramai yang sedang membersihkan pantai berkenaan.
Lokasi tersebut yang di bawah pentadbiran Perancis terletak di timur Madagascar dan kira-kira 175 kilometer barat daya Mauritius.

“Serpihan itu telah diliputi cengkerang mungkin kerana ia telah berada lama di dalam air,” kata seorang saksi.




Ekoran itu, pihak berkuasa pengangkutan Perancis telah membuka siasatan bagi menyiasat bangkai pesawat berkenaan.

Pakar keselamatan penerbangan, Xavier Tytelman tidak menolak kemungkinan bangkai itu milik MH370 yang hilang tanpa dapat dikesan pada Mac tahun lepas.

Tytelman menyatakan berdasarkan gambar media tempatan terdapat “persamaan yang luar biasa antara flaperon B777 dan serpihan yang ditemui.” merujuk kepada sebuah Boeing 777 - jenis pesawat yang hilang.


Bagaimanapun, laporan media turut menyebut terdapat beberapa kemalangan udara membabitkan pesawat Boeng dan Airbus di kawasan berkenaan termasuk Yemenia Airlines pada tahun 2009.

Pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Pesawat B777-200 itu membawa 239 penumpang yang terdiri daripada 227 orang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal.

Operasi pencarian pesawat berkenaan masih berjalan di selatan Lautan Hindi selepas diisytiharkan berakhir di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Boeing dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya kekal komited untuk menyokong siasatan MH370 dan pencarian pesawat tersebut.

“Kami terus berkongsi kepakaran teknikal dan analisis. Matlamat kami, bersama-sama dengan industri penerbangan global keseluruhan, bukan sahaja untuk mencari kapal terbang, tetapi juga untuk menentukan apa yang berlaku dan mengapa,” kata gergasi penerbangan Amerika Syarikat itu.

Tytelman juga menyatakan komponen dengan kod rujukan BB670 mungkin dapat merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut.

“Kod ini bukan nombor pendaftaran kapal terbang, mahupun nombor siri. Namun, adalah jelas bahawa rujukan itu akan membolehkan pengenalan pesawat berkenaan dengan cepat. Dalam beberapa hari, kita akan mempunyai jawapan yang muktamad,” ujarnya. – AFP