innity

pages

Wednesday, November 30, 2016

[VIDEO]TERKINI: Runtuhan konkrit di Mid Valley: 1 maut, 2 lagi masih tertimbus

PIHAK polis dan bomba mengangkat mayat mangsa yang terbabit dalam kejadian runtuhan jejambat pejalan kaki KL Eco City, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tujuh mangsa terbabit dalam kejadian runtuhan jejambat pejalan kaki KL Eco City. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata semua mangsa adalah pekerja kontrak warga Bangladesh dan Vietnam. 

Daripada jumlah itu, katanya, seorang mangsa warga Vietnam disahkan meninggal dunia dan mayatnya sudah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). 

"Dua lagi mangsa warga Bangladesh dipercayai masih tertimbus. Kerja mencari dan menyelamat masih dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat. 

"Empat lagi yang cedera dihantar ke PPUM untuk menerima rawatan," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi. 

Sharul Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 4 petang. 

"Kejadian membabitkan laluan pejalan kaki yang menghubungkan KL Eco City dengan pusat beli-belah Mid Valley," katanya.

Tan Sri Dr Rais Yatim: Jangan perkotak-katikkan jasa Tun M


ALOR SETAR - Jasa Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap negara sepanjang 22 tahun mentadbir tidak wajar diperkotak-katikkan walaupun pemimpin itu kini tidak lagi sehaluan dengan kerajaan BN.

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, selaku pemimpin lama yang banyak menabur jasa membangunkan negara ketika menjawat jawatan Perdana Menteri, Mahathir harus dihormati bukannya dikecam.

“Kita perlu menghormati dan tidak wajar memburuk-burukkan pemimpin terdahulu. Walau apa pun yang berlaku Melayu mesti berpegang teguh pada prinsip mengenang budi. Ada caranya untuk kita berikan nasihat atau menegur,”  katanya, selepas majlis penyerahan siap kerja menaiktaraf galeri Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, di Jalan Menteri, semalam.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf.

Rais yang juga bekas menteri Kabinet berkata, sikap itu seharusnya kekal sepanjang masa namun semakin dilupakan akibat perbezaan pandangan.

“Setiap pemimpin itu memiliki aspek positif dan negatif, tiada manusia yang memimpin dengan sempurna namun jasa Mahathir tidak harus diperkotak-katikkan mana-mana pihak kerana ia terpalit dalam lipatan sejarah negara,” katanya.
Menurutnya, atas faktor itu, beliau perlu dihormati dan bukannya dihina.

“Hingga ada pihak cadangkan runtuhkan KLCC untuk menafikan sumbangan beliau ke atas monumen itu, itu kenyataan kebudak-budakan,” katanya.

Rais berkata, sekiranya politik Melayu sentiasa bertembung konflik akan menyebabkan kita tiada  masa untuk memikirkan kaedah terbaik membangunkan negara.

“Saya berani menyatakan, kita perlu lupakan konflik melibatkan Mahathir, sebaliknya rangka jalan baharu untuk fokus membina negara. Mana-mana pemimpin perlu dihormati, mungkin ada silap dalam personaliti masing-masing namun kita perlu akur,” katanya.

Bagaimana pun, katanya, pada masa sama, Mahathir juga harus muhasabah diri sama ada beliau telah melakukan sesuatu yang kurang disenangi, namun terpulang kepada beliau sama ada mahu berbuat demikian atau tidak.

Mengulas sama ada Mahathir menerapkan fear factor dalam pentadbirannya sehingga mewujudkan aura takut kalangan menteri kabinetnya, Rais mengakui ia berlaku dan perasaan hormat itu tetap ada selaku pemimpin nombor satu negara.

“Mungkin label itu disebut ketika dalam amarah atau emosi. 

Namun saya masih ingat, semua yang hadir dalam mesyuarat Kabinet termasuk saya dahulu, mahu pegang kepala lutut Mahathir pun gerun. Soalnya, kenapa dahulu hormat, sekarang tidak?,” katanya.

Rais berkata, sekalipun berbeza pandangan, adalah lebih baik kita akur pada pendapatnya berdasarkan sikap mengenang budi.

“Melentur buluh dengan budi lebih berkesan berbanding kekerasan, carilah cara! Jangan sampai merosakkan imej Melayu,” katanya.

TERKINI: 10 Murid SRJKC cedera bas rempuh Plaza Tol Ipoh Selatan


IPOH: Sekurang-kurangnya 10 murid Tahun Enam dan guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Jit Sin, Bukit Mertajam, cedera selepas bas persiaran yang dinaiki merempuh Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara, sebentar tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, bas membawa rombongan 33 murid dan empat guru itu dalam perjalanan pulang daripada lawatan di Cameron Highlands dan singgah ke Ipoh sebelum pulang ke Bukit Mertajam. 

Guru pengiring, Ng Kim Tee, berkata beliau yang duduk di belakang pemandu bas diberitahu oleh pemandu berkenaan bahawa brek bas tidak berfungsi. 

Katanya, beliau panik sebaik mengetahui perkara itu dan tidak sempat memberi sebarang arahan kepada murid. 

"Pemandu itu beritahu 'tak ada brek! tak ada brek!' dan kemudian bas kami naiki menggelungsur ke kanan sebelum merempuh tiang plaza tol. 

"Keadaan itu mengakibatkan beberapa murid dan guru terdorong ke depan dan terhentak ke cermin hadapan. 

"Lebih kurang lapan murid dan dua guru cedera akibat rempuhan itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan.

PAU2016: Ketua Wanita, Ketua Pemuda ‘serang’ Tun M dalam ucapan dasar


Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini menjadi medan ketua-ketua sayap melakukan ‘serangan’ terhadap Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pergerakan Pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin dengan sengaja menggunakan puisi “Melayu Mudah Lupa” yang dibawa Dr Mahathir pada 2001 untuk menyerang bekas presiden parti tersebut.
“Beliau pun sendiri pernah berkata, Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, Bersih dipertikai. Sekarang, merayu rakyat sertai Bersih. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Soros dikritik, Sekarang, sertai demo yang dibiayai Soros.
“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu lempar Anwar pelbagai tuduhan. Sekarang bersalaman bertukar senyuman, entah jujur atau tidak. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, bila ditanya pasal reformasi. Sekarang mengejar tepukan di pentas lawan.
“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Mat Sabu dicaci dihina. Sekarang teman bergelak ketawa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu konon pejuang bangsa. Sekarang seganding musuh bangsa.
“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu pertikai kewujudan Keadilan. Sekarang, mesra dengan kepimpinannya, siap sahut Bebas Anwar. Melayu mudah lupa, Melayu Mudah lupa. Dulu, musuh dipersoal. Kini semeja, mengejar kuasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil turut tidak ketinggalan melahirkan rasa geramnya malah menyifatkan hari paling gelap dalam hidupnya adalah apabila menyaksikan Dr Mahathir ‘bercium mulut’ dengan tokoh parti rasis dan cauvinis, DAP iaitu Lim Kit Siang.
“Paling saya sedih puan-puan apabila bekas pemimpin kita bersekongkol dengan pembangkang. Saya berasa pelbagai perasaan yang saya lalui daripada terkejut kepada kesedihan, kemarahan dan lain-lain.
“Hari yang saya lihat mereka bercium mulut dengan Lim Kit Siang adalah hari yang paling gelap dalam hidup saya, saya malu. (Selama) 22 tahun jadi pemimpin kita sayang sanjung, naik turun beliau duka beliau menjadi duka kita.
“Dia yang kata Lim Kit Siang macam itu (tetapi) hari ini apa yang berlaku? Kalau kita baca dalam media, itu agenda nak naikkan anak dia tapi jangan terima.
“Jangan jadikan agenda peribadi sebagai agenda politik,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2016. - ismaweb

[MAHARAJA LAWAK MEGA] Tan Sri Shahrizat: "Saya dapat rasakan kesucian hati Najib"


KUALA LUMPUR - "Saya amat mengagumi semangat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Shahrizat, beliau dapat melihat kesucian hati Najib dalam meneruskan usaha membantu rakyat di negara ini.

Berkata lanjut, Shahrizat mengingatkan Wanita Umno supaya mencontohi semangat waja yang ditunjukkan Najib.

"Wanita (Umno) perlu bijak kenal pasti keperluan semasa rakyat.

"Kita perlu berani perjuangkan hak untuk terus berkebajikan kepada rakyat," katanya ketika merasmikan himpunan Pergerakan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Difahamkan, seramai 997 perwakilan Wanita Umno dari seluruh negara telah hadir pada himpunan tersebut.
Menurut Shahrizat lagi, sekiranya Wanita Umno terus kuat menabur bakti kepada rakyat, parti itu tidak akan ada masalah untuk berdepan dengan mana-mana parti serpihan selepas ini.

"Politik hari ini tidak sama seperti politik 70 tahun dahulu.  Politik hari ini berdepan dengan cabaran luar biasa.

"Selepas diteliti, politik di negara ini juga berdepan dengan situasi yang sama. Maka dengan itu, sebagai ibu terbaik bangsa, kita harus menangani terbolen politik ini dengan wadah yang bijaksana, dan wasilah yang terpimpin," tegasnya lagi.

VIDEO | RUU 355: Tak salah ada percaturan politik jika untuk kebaikan Islam


Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, jika benar berlaku percaturan politik di sebalik Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) demi kebaikan orang Islam, maka ianya adalah sesuatu perkara yang biasa.

Tuesday, November 29, 2016

Menteri cadang wujud MRSM berbayar


 
PUTRAJAYA - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah memberi cadangan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) agar menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar.

Beliau berkata, ini kerana beliau menerima banyak permintaan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi yang anak mereka cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mahu menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di MRSM.

Permohonan kemasukan ke MRSM kini memberi keutamaan kepada pelajar dari keluarga berpendatan rendah terutama dari luar bandar.

"Oleh itu saya lontarkan idea untuk mewujudkan MRSM berbayar kepada Majlis Amanah Rakyat untuk dikaji. MRSM ini akan diwujudkan di Lembah Klang dan mungkin mengenakan yuran yang sedikit rendah berbanding sekolah swasta atau sekolah antarabangsa.

"Namun kadar yuran MRSM berbayar akan bergantung kepada kos. Sekarang ia masih di peringkat terlalu awal untuk berbincang mengenai yurannya," katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu semasa berucap pada perhimpunan itu, Ismail Sabri berkata,   pelajar dari golongan isu rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan miskin bandar akan diberi keutamaan memasuki MRSM mulai tahun depan. - Bernama

Sunday, November 27, 2016

'SERANG' di Parlimen, 'SERANG' Zunar, Hari Ini 'SERANG' Kumpulan Solidariti Maria


Sekumpulan 20 orang berbaju hitam dan merah cuba merempuh himpunan yang dibuat sebagai tanda sokongan kepada Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Pada mulanya mereka menjeritkan slogan "Sokong Najib" apabila orang ramai mula mendengar ucapan disampaikan oleh Penyelaras BERSIH Utara Datuk Dr Toh Kin Woon.


Mereka juga menjerit "Bersihkan diri sendiri dulu" selain mengutuk BERSIH kerana didakwa mendapat sokongan Yahudi.
Kumpulan anti-BERSIH itu turut menuntut penyokong Maria Chin menunjukkan permit polis yang membenarkan perhimpunan itu diadakan.
Bagaimanapun cubaan mereka menyerbu kira-kira 100 orang peserta himpunan itu dihalang oleh polis yang bertugas di kawasan Sudut Pidato berkenaan.
Sebelum keadaan ditenangkan anggota keselamatan, berlaku kekecohan selama kira-kira lima minit.
Toh dan Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim kemudian mengucapkan terima kasih kepada polis yang bertindak profesional.

Najib jangan buat 'gila' terima desakan Cina MCA Iktiraf UEC


Gabungan Pelajar Melayu Sememnanjung (GPMS) menggesa Datuk Seri Najib Razak tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bagi permohonan kemasukan universiti awam.
Di depan perdana menteri Presiden GPMS Zambri Mohd Isa berkata kurikulum UCE diciplak dari Taiwan dan jelas tidak selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan.
"GPMS mahu menyatakan dengan jelas kami menggesa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri (Najib) untuk menolak sebarang pengiktirafan untuk UEC bagi kemasukan ke universiti awam.
"GPMS faham Datuk Seri ialah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama, tetapi GPMS berharap Datuk Seri boleh mempertimbangkan semula sebarang pengiktirafan sebab isu ini bukan sekadar isu bangsa, tetapi soal menghormati sistem pendidikan kebangsaan dan UEC jelas tidak menghormati sistem pendidikan di negara ini.
"Justeru GPMS berpendapat tidak perlu ada dua sistem peperiksaan untuk kemasukan universiti yang akan memberi kesan kepada peluang untuk lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)," katanya.
Zambri menyatakan demikian ketika membuat ucapan alu-aluan pada mesyuarat agung tahunan ke-62 GPMS di Kuala Lumpur hari ini.
Najib sebagai penaung GPMS kemudian merasmikan persidangan berkenaan.
Ucapan itu dibuat kira-kira dua minggu selepas Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta Najib membenarkan kemasukan pelajar ke universiti awam jika mereka memiliki UEC.
Najib turut hadir ketika Liow menyatakan hasratnya semasa mesyuarat agung tahunan MCA pada 13 November itu.
UEC adalah ujian ditadbir sekolah persendirian Cina di Malaysia dan diiktiraf universiti terkemuka di luar negara serta universiti swasta di Malaysia.
Bagaimanapun ia tidak diiktiraf universiti awam negara ini.

Benarkah DAP Kuasai Malaysia jika BN KALAH PRU14


DAP bakal kuasai Malaysia?

Dulu sebelum PRU13, UMNO menakut-nakutkan orang Melayu dengan mengatakan bahawa 1 undi untuk PAS adalah 1 undi untuk DAP yang akan menghapuskan keistimewaan Bumiputera dan Islam di Malaysia.

Dua fakta yang jelas bertentangan antara UMNO dan MCA. Orang Melayu ditakut-takutkan dengan isu kehilangan hak-hak keistimewaan Melayu kerana DAP bakal berkuasa manakala masyarakat Cina pula ditakut-takutkan dengan isu PAS dan perlaksanaan hukum hududnya. Malangnya rakyat yg cetek akal terus percaya membuta-tuli tanpa menyidik lanjut.

Mampukah DAP menguasai Parlimen?

Masih ramai orang Melayu Islam yang takut untuk memangkah DAP. Ini termasuklah penyokong-penyokong tegar PKR dan PAS sendiri. Mereka termakan hasutan media arus perdana bahawa andai Pakatan Harapan berkuasa, DAP akan menjadi tuan di Malaysia. 

Bagaimana DAP hendak menguasai Parlimen Malaysia jika mereka hanya bertanding di 51 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara? 

Sekiranya DAP menang kesemua 51 kerusi sekali pun, mereka hanya memiliki 23% daripada jumlah semua kerusi Parlimen Malaysia dan mereka masih tidak mempunyai suara majoriti dan tidak akan berupaya untuk menguasai Parlimen Malaysia. 

Untuk belah pembangkang, di antara semua parti di dalam Pakatan Harapan, PKR merupakan parti paling besar jumlah pencalonannya di kerusi Parlimen. PKR bertanding di 99 kerusi Parlimen, PAS (yang dulu di dalam Pakatan Rakyat) 73 manakala DAP cuma 51 kerusi sahaja. 

Adakah benar DAP boleh menjadi kuasa dominan dalam pembangkang sekarang dan seterusnya mengawal Parlimen Malaysia? 

Gunakanlah akal yang Allah kurniakan untuk menilai sendiri bukti-bukti yang disajikan dan bukan terus percaya segala hasutan politik kotor pihak-pihak yang berkepentingan politik peribadi. 

Statistik ini diperoleh di laman web rasmi PRU13 milik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia - http://keputusan.spr.gov.my/

Pesanan saya kepada para penyokong Pakatan Harapan yang sudah berkira-kira untuk tidak memangkah DAP atas alasan Islam dan kepentingan Bumiputra, sedarlah bahawa kita telah diperdaya oleh media arus perdana melalui kenyataan pemimpin-pemimpin negara atas nama keterdesakan politik. 

Sedarkah anda kenyataan-kenyataan mereka ini jarang-jarang sekali disertakan dengan fakta dan statistik yang sah? 

Disebabkan mereka pemimpin negara dan ulasan mereka disiarkan di media arus perdana, maka kita terus percaya bahawa ianya sahih tanpa usul periksa. 

Andainya anda memilih untuk tidak memangkah mana-mana calon bukan Islam pada kerusi-kerusi pertembungan antara DAP dan MCA atas alasan agama Islam dan kepentingan Bumiputra, maka anda sebenarnya telah secara automatik menyatakan persetujuan anda untuk memilih DS Najib terus menjadi Perdana Menteri Malaysia. 

Akibatnya nanti, kita akan terus kekal seperti hari ini dan jangan pula nanti anda terpekik-terlolong selepas PRU14 mengutuk kerajaan BN atas kesempitan hidup kita sehari-hari. 

Inilah sahaja masanya untuk kita membina Malaysia baru. Fikirkan kesengsaraan yang sedang kita alami hari ini. Bagaimana duit rakyat dibazirkan sewenang-wenangnya. Rakyat dipaksa membayar GST tetapi wang tersebut dibazirkan untuk perbelanjaan yang tidak diperlukan seperti duit 1MDB dalam rumah mewah, kapal mewah, pesta mewah judi dan filem porno Jho Low dan anak tiri Najib buat.

Kerajaan Negeri

Dalam Pakatan Rakyat sebelum Pakatan Harapan, bagi pembentukan kerajaan negeri pula, DAP hanya bertanding di 103 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Malaysia berbanding PAS sebanyak 236 kerusi dan PKR 172 kerusi. 

PAS merupakan parti yg paling banyak bertanding kerusi DUN di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat dulu yang kini PAS tidak bersama dalam Pakatan Harapan. 

DAP pula merupakan parti yg bertanding paling sedikit kerusi DUN dan DAP juga parti yang bertanding paling sedikit kerusi Parlimen di kalangan semua parti utama dalam pembangkang dulu

Adakah waras untuk mempercayai dakwaan UMNO yang DAP akan menjadi kuasa dominan dalam kerajaan baru andai Pakatan Harapan memenangi PRU14? 

Statistik jelas menunjukkan bahawa dakwaan tersebut adalah rekaan semata-mata untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak mengundi Pakatan Harapan.

Bukalah minda dan gunakan akal untuk membuat pertimbangan yang waras. 

Cukuplah 55 tahun kita diperbodoh-bodohkan oleh mereka dan jangan benarkan anak-anak kita terus menjadi mangsa akibat kesilapan kita. Andai rasuah terus berleluasa pastinya negara akan bankrap. 

Bankrap kerana penyalahgunaan wang rakyat dan rasuah. Namun percayalah bahawa negara ini tidak akan bankrap jika mandat diberikan kepada Pakatan Harapan kerana kerajaan baru Pakatan Harapan pasti berjaya menjimatkan perbelanjaan negara (seperti yang telah dibuktikan di Pulau Pinang dan Selangor - sila rujuk Laporan Ketua Audit Negara 2012 hingga 2016) dan lebihan dana daripada penjimatan ini kemudiannya boleh disalurkan untuk program-program berkepentingan rakyat. 

Syarikat-syarikat konsesi tol lebuhraya terus mengutip tol pada kadar yang tinggi dengan alasan ia telah dipersetujui dalam perjanjian konsesi walaupun mereka telahpun pulang modal dan menikmati keuntungan jutaan ringgit setiap tahun. 

Tidak bolehkah kerajaan BN hari ini mengkaji semula perjanjian konsesi tersebut atas alasan kepentingan rakyat? Rakyat dibebankan tetapi syarikat-syarikat konsesi tol lebuhraya ini terus mengaut keuntungan jutaan Ringgit setiap tahun. 

Tepuk dada tanya selera. Jangan benarkan diri kita diperdaya oleh mereka yang berkepentingan politik peribadi. Renungkan semula perjuangan kita untuk menyelamatkan Malaysia. Penat lelah berjuang di jalanan tanpa sebarang paksaan tidak harus dilupakan begitu sahaja. Marilah kita hapuskan rasuah untuk selama-lamanya. Jika kita tidak memulakan perubahan pada kali ini mungkin tidak ada lagi peluang sebegini. Mungkinkah ada lagi peluang di LAIN KALI atau kita pastikan ianya berlaku kali ini! INIKALILAH! 

p/s: Tulisan ini ditujukan khas untuk teman-teman Melayu Islam yang masih was-was untuk menyokong dan mengundi calon-calon DAP dalam memastikan kejayaan Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya. PKR, AMANAH, WARISAN dan PPBM tidak mungkin boleh menakluki Putrajaya tanpa bekerjasama dengan DAP. Pakatan Harapan perlukan satu sama lain untuk memastikan kejayaan PRU14.

Zunar ditangkap Polis kerana menghasut selepas Pameran 'DISERANG' Pemuda UMNO di Komtar


Zunar ditangkap kerana menghasut selepas pameran diganggu.

Kartunis politik tu ditangkap kerana mengadakan pameran kartun yang didakwa menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque ditangkap kerana menghasut selepas mengadakan pameran kartun yang didakwa menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.



Zunar turut ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan.

Terdahulu beliau diminta memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Timur Laut di Jalan Pattani.

Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, polis kini akan merampas karya-karya Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar.

"Polis kini akan pergi ke Komtar bersama-sama dengan Zunar untuk merampas semua karya-karya beliau. Lokasi adalah di Asia Comic Muzium Komtar aras 3," kata Sim.


ADUN Seri Delima RSN Rayer mewakili Zunar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Meor Farid Alatrash mengesahkan penangkapan itu.

"Dia akan ditahan 24 jam untuk membantu siasatan .. jika siasatan tidak lengkap, kita akan mendapatkan perintah reman esok pagi," katanya.

Sebelum ini, pameran Zunar di Komtar diganggu oleh sekumpulan 30 anggota Umno yang diketuai Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim.

Mereka menendang dan merosakkan dua karya kartunis itu.

Zunar mendakwa empat tumbukan dilepaskan terhadapnya dan mereka menarik kolar beliau tetapi berjaya mengelakkan diri.

Rafizal memberi amaran anggota-anggota Pemuda Umno akan menggunakan kekerasan pada Zunar sekiranya beliau meneruskan pameran itu yang sepatutnya diadakan sehingga 2 Disember.

Rafizal mendakwa karya seni Zunar adalah satu penghinaan kepada Najib, yang juga pengerusi BN dan presiden Umno.

Saturday, November 26, 2016

Sultan Kelantan di Majlis Pengistiharan Khas Taman Pelindungan Ekosistem Sultan Muhammad V


KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berangkat ke Majlis Pengistiharan Khas Taman Perlindungan Ekosistem Sultan Muhammad V di Empangan Pergau Jeli. - 
Unit Media Pejabat Sultan Kelantan 





TERKINI: [GAMBAR, VIDEO] Tanah Runtah di Serendah, Hulu Selangor - 8 kereta, deratan Gerai Gelongsor sedalam 20 Meter

 

Hulu Selangor: "Saya baru saja menutup gerai sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.

“Terkejut saya menyaksikan kereta jatuh satu persatu, bagai ditelan bumi," kata saksi kejadian tanah runtuh, Normah Ninggal, 48, di Taman Idaman, Serendah, di sini, awal pagi ini.

Normah berkata, ketika kejadian dia baru selesai berniaga dan sedang mengemas di hadapan rumahnya yang terletak bersebelahan gerainya itu.

"Saya panggil anak-anak yang berada di gelanggang sepak takraw di sebelah rumah untuk masuk.

"Tidak sampai seminit, tanah di belakang rumah runtuh, pokok bergoyang dan kereta berpusing," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.


Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Kamil Hamadan, berkata disebabkan masih ada pergerakan tanah di lokasi kejadian, semua penduduk sudah diarahkan berpindah.

Katanya, kawasan kejadian seluas 1.2 hektar itu sudah runtuh 50 meter ke bawah.

"Operasi mencari dan menyelamat sudah dijalankan di lokasi kejadian bermula 6. 45 pagi dan selepas membuat pencarian lebih sejam, tiada mangsa ditemui.

"Sebagai langkah pencegahan semua penduduk yang berada di zon merah iaitu empat lorong rumah kediaman bertentangan dengan lokasi kejadian sudah diarahkan berpindah," katanya kepada Harian Metro.


Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, lapan kenderaan dan deretan kedai serta gerai makan menggelongsor jatuh ke lereng bukit sedalam 20 meter akibat kejadian tanah runtuh.






Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 9:54 AM

Hey KAFIR Guan Eng, jangan fitnah RUU 355 dan pecah belah rakyat Malaysia


Saya merujuk kepada kenyatan media KM Pulau Pinang, Lim Guan Eng (LGE) bertarikh 23.11.2016 yang turut dimuat-naik dalam akaun facebook beliau pada tarikh yang sama.
Kenyataan media beliau mempunyai lima (5) perkara utama yang pada saya mengandungi unsur-unsur hasutan, berniat jahat dan bermaksud cuba memecah-belahkan rakyat terutama bangsa Melayu-Islam di atas isu pembentangan RUU 355 di Parlimen oleh YB Marang seperti berikut:-
“1.  MCA, MIC, Gerakan and SUPP should withdraw from BN following BN’s endorsement of “hudud-like” laws under the PAS proposed Syariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965 (Act 355) that will remove the present punishment cap to raise the punishment to 30 years’ jail, RM100,000 fine and 100 times of whipping.
2.  DAP opposes the hudud-like laws because it is contrary to the Federal Constitution.
3.  Our Federal Constitution is secular in nature with Islam as the religion of the Federation.
4.  MCA, MIC, Gerakan and SUPP deserve public condemnation for betraying their principles and promises to uphold and defend the Federal Constitution but also for their political expediency to continue to deceive the people by supporting UMNO that is willing to work together with PAS to bypass the Federal Constitution to allow these laws to take effect.
5. DAP reiterates that the failure of MCA, MIC, Gerakan and SUPP to leave BN now is seen as a form of tacit approval of the unconstitutional measures adopted by UMNO to support PAS’ move to raise the punishment cap of Islamic laws that moves closer to Hudud-like laws.”
Isu utama yang dibangkitkan adalah LGE dan DAP adalah tidak bersetuju dengan cadangan RUU 355 malah fakta RUU 355 dibenarkan untuk dibentangkan oleh kerajaan sudah dianggapnya mengetepikan hasrat parti-parti lain dalam komponen BN yang tidak menyokong RUU 355.
Justeru, LGE dengan secara sedar dan perhitungan politik beliau, menghasut mereka supaya keluar daripada komponen BN. Kita mohon semua pembaca membuat laporan polis seberapa segera terhadap kenyataan-kenyataan mengelirukan dan berbau fitnah ini yang boleh disabitkan di bawah Akta Hasutan 1948.
Biarkan siasatan dilakukan oleh pihak berwajib.
Yang amat kita hairan ialah sikap degil DAP LGE yang berulangkali secara sedar berusaha memfitnah dan menakut-nakutkan rakyat bahawa RUU 355 adalah sebagai (i) Undang-Undang menyamai Hudud (hudud-like laws) atau ke arah melaksanakan Undang-Undang Islam di Malaysia menerusi pindaan Akta 355 (ii) RUU 355 bertentangan dengan Perlembagaan sedangkan Akta 355 sudah wujud sejak 1965 dan dipinda pada tahun 1984 tanpa bantahan orang-orang bukan Islam  ketika itu.
Teramat mustahil ia bersifat unconstitutional dalam keadaan pindaannya diluluskan pada tahun 1984 ketika itu dan (iii) “Negara Malaysia adalah negara sekular” sedangkan tafsiran sebenar  ‘negara sekular’ seperti France dan negara lain ialah ‘sebuah negara yang  mengamalkan pemisahan agama daripada pemerintahan dan urusan negara hatta tidak akan membenarkan apa-apa perundangan berbentuk agama menjadi sebahagain daripada undang-undang negaranya’ sedangkan Perkara 3 Perlembagaan Malaysia meletakkan Agama Islam sebagai ‘Agama Persekutuan’ (religion of the Federation) dan lain-lain  agama bebas diamalkan dalam negara.
Wujudnya Mahkamah Syariah Persekutuan dan Negeri-Negeri menerusi Akta 355 yang mengendalikan kes-kes kesalahan jenayah syar’iyy untuk orang-orang Islam sahaja adalah bukti jelas bahawa Malaysia bukan negara sekular dan tentunya tidak masuk akal sebuah “negara sekular Malaysia’ mempunyai Ketua Negara beragama Islam di kalangan Raja-Raja Melayu-Islam yang mengambil giliran sebagai YDP Agong melafazkan Sumpah Lantikan berbunyi “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” sebagaimana diperuntukkan dalam Jadual Keempat (Perkara 37) Bahagian I, Perlembagaan Malaysia! 
Jelasnya, kenyataan akhbar LGE berkenaan adalah hasutan yang amat nyata dan berniat jahat untuk memecah-belahkan keharmonian rakyat yang sudah lama menerima peruntukan Perlembagaan sebagaiman adanya dalam konteks sebuah negara berbilang kaum yang mengamalkan demokrasi raja berperlembagaan (constitutional monarchy) yang amat unik di dunia yang dihasilkan oleh Suruhajaya Reid daripada warisan penjajah Brirish yang mengakui hak-hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam dan Adat Orang Melayu untuk dimuktamadkan dalam peruntukan Perlembagaan Malaysia.
Kepada LGE kita ingin nasihatkan:
Stop playing political games and trying to fool the rakyat because the rakyat are not fools. Please abstain from making any more “unscontitutional remarks” with bad intentions. May we advise you to focus on your up-coming Court Case and don’t politicize or trying to divert attention on cheap political stunts – it won’t work!
Hj. Zainal Zainuddin

- ismaweb

[HJ HADI 'PERTAHANKAN' UMNO] ‘Penangguhan tiada kaitan Umno’


MARANG - Penangguhan huraian pindaan Rang Undang-Undang persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU 355) untuk memberi ruang penambahbaikan agar dapat memberi peluang kepada semua pihak untuk memahami dengan cara yang betul.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, keputusan itu tiada kaitan dengan permainan Umno seperti didakwa Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dalam Facebooknya dan beliau bukan sengaja mahu melengah-lengahkan huraian tersebut.

“Itu tidak betul, tidak betul...saya bukan melengah-lengahkan, tetapi itu untuk memberi ruang penambahbaikan dan memberi peluang kepada semua pihak supaya memahami dengan cara yang betul. Sebab (itu) saya tidak bertindak dengan cara tergopoh-gopoh.

“Beri peluang, (pada) masa (yang) baik. Mereka nak tutup di situ dengan undi di Parlimen, itu tidak boleh, undi tidak mewakili seluruh masyarakat Islam. Dia hendak bakar keamanan ke?

“Mereka ini tidak fikir kepentingan agama, kepentingan politik mereka lebih tinggi daripada segala-galanya tetapi kita tidak begitu,” katanya selepas kuliah pagi di Masjid Rusila, semalam.

Kelmarin, selepas selesai membentangkan pindaan  RUU 355, beliau menangguhkan huraian akta tersebut ke sidang Dewan Rakyat akan datang.

Ahli Parlimen Marang itu ketika sidang akhbar sejurus penangguhan, memberikan peringatan tegas kepada wakil-wakil rakyat bukan Islam supaya jangan mencampuri urusan agama Islam yang jelas tiada kaitan dengan mereka.

Abdul Hadi yang merujuk kes Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau ‘Ahok’, menzahirkan kekecewaan apabila terdapat ahli-ahli politik bukan Islam yang beliau percaya tidak mewakili keseluruhan masyarakat bukan Islam menggunakan isu RUU355 untuk mendapatkan keuntungan politik berbanding kepentingan awam.

Ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Selasa lalu, katanya, Pas konsisten adakan pertemuan dengan semua peringkat bagi rundingan RUU 355.

PAS beri AMARAN pada PPBM, Tun Mahathir

PAS memberi amaran kepada Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak menyerang parti itu jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu berkerjasama dengannya.

“Kalau PPBM benar-benar ingin jalinkan kerjasama dengan PAS untuk berdepan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang, Mahathir kena jaga mulut dan kena ingat, dia bukan lagi perdana menteri, kena tahu hadnya,” kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurut Sinar Harian, naib presiden PAS itu turut berkata mantan perdana menteri berkenaan memang suka jika pihak lain mengikut cakapnya.

“Itu adalah sikapnya sejak dahulu lagi, dan dia akan melakukan apa sahaja tindakan termasuk menyerang PAS yang tidak mengikutnya. Beliau akan berhenti bercakap bila semua orang ikut dia,” kata Mohd Amar.

Beliau juga menempelak Dr Mahathir, kini pengerusi PPBM, yang mengkritik keburukan kerajaan sekarang tetapi pernah melakukannya ketika menjadi perdana menteri.

“Sebagai contoh, dulu dia larang rakyat sertai perhimpunan, tetapi sekarang dia lakukan,” katanya kepada media selepas mesyuarat exco sebelum ini.

Tiba Masanya PAS Tunjuk Taring, kata Sekutu PAS, Kadir Sheikh Fadzir


Sudah tiba masanya PAS bangkit dan mematahkan serangan musuh secara matang, termasuk pihak yang menentang Rang Undang-Undang (RUU) 355.
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, menyifatkan PAS seolah-olah menjadi mangsa buli, khususnya dalam usaha parti itu membentangkan RUU 355 atau RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016.
Bagaimanapun, katanya, sikap PAS yang tunduk membisu terhadap pelbagai cemuhan tidak bermakna parti itu menyerah kalah, sebaliknya menggambarkan kematang dan kesederhanaan pemimpinnya.
“Pindaan yang dicadangkan Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, bertujuan memberi gambaran lebih jelas kepada orang ramai, selain menangani fitnah dan tuduhan tidak berasas pelbagai pihak.
“Kalau dulu, setiap usaha memartabatkan perundangan Islam tidak pernah ditentang Ahli Parlimen bukan Islam kerana tidak menyentuh kepentingan mereka.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com