innity

pages

Wednesday, August 23, 2017

Hendak siasat apa lagi pasal Memali, tanya Hanif Omar

Bekas ketua polis negara, Mohammed Hanif Omar turut mempersoalkan maklumat apa lagi yang mahu dicari dalam tragedi menyebabkan 4 anggota polis dan 14 orang awam terbunuh pada 19 November, 1985. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2017.
BEKAS pemimpin tertinggi pasukan polis mempersoalkan apa perlunya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa berdarah Memali yang berlaku 32 tahun lalu.
 
Bekas ketua polis negara, Mohammed Hanif Omar turut mempersoalkan maklumat apa lagi yang mahu dicari dalam tragedi menyebabkan 4 anggota polis dan 14 orang awam terbunuh pada 19 November, 1985.
 
“Apakah sebabnya mereka masih tidak puas hati?” soal Hanif kepada The Malaysian Insight ketika diminta mengulas kesediaan kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat peristiwa Memali. 
 
“Apakah perkara penting yang masih belum terjawab?”


Hanif turut mengingatkan penubuhan RCI akan melibatkan kos yang tinggi.
 
“RCI bukan percuma, ada kosnya kepada rakyat,” katanya.
 
Hanif adalah ketua polis negara semasa peristiwa Memali berlaku, dan merupakan ketua polis negara paling lama berkhidmat antara 1974-1994.
 
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tragedi Memali kerana tidak berada di Malaysia pada ketika itu.
 
Ketika peristiwa berdarah Memali berlaku pada 1985, Hanif sedang bercuti kerana menyambung pengajian selama dua tahun di United Kingdom.
 
Jawatannya ketika itu dipangku Mohamed Amin Osman dari 1983 hingga penghujung Disember 1985.


Kerajaan membentangkan Kertas Putih Peristiwa Memali di bertarikh 26 Februari 1986 yang ditandatangani menteri dalam negeri ketika itu, Musa Hitam kepada Parlimen. 
 
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan hujung minggu lalu Putrajaya bersedia menubuhkan RCI bagi menyiasat tragedi Memali.
 
Kenyataan itu dialu-alukan PAS yang mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa membela nasib mangsa Memali. 
 
Bagaimanapun seorang lagi bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor berkata tindakan kerajaan menubuhkan RCI hanya akan mendedahkan peranan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai punca berlakunya tragedi berdarah Memali.
 

Rahim menarik perhatian kepada ucapan Hadi dalam sebuah ceramah pada 1981 yang mempengaruhi Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya sehingga terjebak melakukan kegiatan yang mengancam keselamatan negara. Ucapan itu terkenal dengan gelaran "Amanat Hadi". 
 
Amanat Hadi merupakan petikan ucapan presiden PAS itu dalam ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dipegang ahli parti Islam itu di seluruh negara pada ketika itu.
 
Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk mereka sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah.
 
Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Hadi mendakwa kekecohan semasa forum "Nothing to Hide 2.0" baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir Mohamad berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin. 


Dr Mahathir, perdana menteri semasa peristiwa Memali, kini mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan.
 
Hadi pula, selepas membawa PAS memutuskan kerjasama dengan parti-parti pembangkang, kini dilihat senada dengan Umno dalam banyak perkara menuju Pilihan Raya Umum ke-14. – 22 Ogos, 2017 - themalaysianinsight

[MEREKA TAKUT HADAPI TUN M PADA PRU14] BERSATU: Tak benar 'Dr Mahathir dimasukkan ke ICU'


Spekulasi bahawa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Putrajaya adalah tidak benar.
“Kami ingin memaklumkan bahawa sebaran mesej di bawah ini adalah tidak benar sama sekali,” kata Unit Media BERSATU menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Ia merujuk kepada mesej yang tersebar di media sosial yang mendakwa kononnya Mahathir menghadapi kesesakan bernafas.
Mesej palsu itu mendakwa kejadian berlaku ketika Mahathir sedang dalam perjalanan untuk menghadiri sebuah majlis di Puchong.
Bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu kini menjadi pemimpin pembangkang dan sedang berusaha untuk menumbangkan Umno dan sekutunya daripa tampuk kuasa.
Mahathir mendakwa Datuk Seri Najib Razak terpalit dengan gejala rasuah, tetapi perdana menteri menafikan dakwaan itu.
Beliau sejak beberapa bulan kebelakangan ini sering membuat penampilan di pentas pembangkang dan dijangka menghadiri forum pelaburan China di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) pada Khamis ini.

Tuesday, August 22, 2017

[SERANGAN DITERUSKAN] Selepas Unisel, SPRM serbu pejabat SUK Selangor

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat Menteri Besar Diperbadankan (MBI) milik kerajaan Selangor bagi menyiasat pertikaian kontrak membabitkan universiti itu dengan bekas kontraktornya, Jana Niaga Sdn Bhd, dan dakwaan rasuah membabitkan RM10 juta.
Sepasukan 5 anggota SPRM dari Putrajaya berpakaian seragam tiba dengan 2 kenderaan rasmi di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan SUK di sini kira-kira 10.50 pagi tadi, sebelum naik ke tingkat 14.
Kunjungan SPRM ini hanya kurang sejam selepas serbuan di Unisel di Bestari Jaya dan Shah Alam, serta pejabat Jana Niaga.
Sumber memberitahu FMT, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman kini di Mekah untuk mengerjakan haji, menyebabkan SPRM mengambil butiran daripada pegawai MBI yang lain.
Pada 25 Julai, MBI mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mendakwanya terbabit dalam rasuah berhubung pembayaran kepada Jana Niaga.
MBI sebelum ini menafikan membuat bayaran RM60 juta kepada Jana Niaga dan mahkamah tidak pernah memutuskan syarikat itu mahupun Unisel berlaku salah.
Menurutnya, dakwaan membuat pembayaran kepada Jana Niaga, walaupun kontraktor itu melanggar perjanjian dan gagal dalam tuntutan tunggakan bayaran adalah tidak benar.
Susulan itu, pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor mempersoalkan MBI bila proses timbangtara dengan Jana Niaga akan dilakukan.
Ia selepas MBI menyatakan terdapat proses untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran kepada syarikat itu.
Rizal meminta MBI menyatakan siapa yang terlibat dalam timbangtara itu, sambil berkata Unisel tidak bersetuju dengan terma yang dicadangkan MBI dan bayaran pendahuluan RM10 juta kepada Jana Niaga, merujuk kepada dakwaan sebuah blog. - FMT

'Harga minyak naik bukan salah PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak harus dipersalahkan ekoran kenaikan harga minyak dalam negara.

Kata Najib, adalah tidak rasional Malaysia yang merupakan negara pengeluar minyak kerdil, boleh menentukan pasaran harga minyak dunia.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di PWTC hari ini.


Adui!! Baik aku dengar lagu kat bawah ni lagi best.



Adui!!! Tidur jap lah


[BENDERA TERBALIK] CyberSecurity M'sia nasihat tingkat keselamatan web elak digodam

CyberSecurity Malaysia memberi amaran kepada pengendali laman di negara ini supaya mengambil langkah melindungi sistem mereka, selepas sekurang-kurangnya 33 laman digodam sebagai membantah bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku khas cenderahati Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirudin Abdul Wahab berkata, serangan itu adalah “nyata” dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu sedang menyiasat dan memantaunya.
Mereka juga akan bekerjasama rapat dengan badan lain untuk mengurangkan serangan itu.
Beliau memberitahu FMT sekurang-kurangnya 33 laman Malaysia digodam hari ini sehingga 3.40 petang tadi.
Sehubungan itu, beliau menyarankan organisasi menggunakan program pertahanan siber mendalam untuk melindungi rangkaian mereka.
Katanya, sistem, aplikasi dan tambahan pihak ketiga perlu dikemas kini dengan kemas kini terbaru dan “patch” keselamatan.
“Jika anda menggunakan sistem operasi atau perisian versi lebih lama, pastikan ia dinaik taraf kepada versi terkini. Versi lama mungkin mempunyai beberapa kelemahan yang boleh dimanipulasi penceroboh,” katanya.
Amirudin turut menggesa pengendali sistem laman untuk mengukuhkan konfigurasi rangkaian mereka, sistem operasi dan komponen aplikasi yang mungkin disasarkan serangan distributed-denial-of-service (DDoS).
Serangan DDoS berlaku apabila lebar jalur sistem yang disasarkan dipenuhi trafik – biasanya daripada mesin digodam atau dijangkiti – untuk mengatasi kapasiti sistem dan menyekat akses kepada perkhidmatannya.
“Organisasi disyorkan melakukan penilaian kerentanan dan ujian penebusan terhadap sistem mereka,” katanya.
Awal hari ini, penggodam tidak dikenali menggodam berpuluh-puluh laman Malaysia sebagai bantahan terhadap kesilapan mencetak bendera merah putih Indonesia secara terbalik dalam buku khas cenderamata KL2017 untuk upacara perasmian temasya 2 tahun sekali itu pada Sabtu lalu.
Portal berita Indonesia, Suara.com melaporkan penggodam daripada kumpulan “hacker rulez” menggodam laman yang kebanyakannya milik persendirian dan blog perniagaan di Malaysia.
Antara laman yang menjadi mangsa ialah kualalumpurmalaysia.com, yang dimiliki penulis motivasi dan jutawan Azizi Ali.
Klik ke laman itu membawa pengunjung ke sebuah lagi laman milik Azizi, www.beahappymillionaire.com, yang kini tertera ayat “Bendera negaraku bukanlah mainan”.
Gambar daripada halaman buku rasmi Sukan SEA yang menjadi kontroversi itu juga dimuat naik, dengan lagu kebangsaan Indonesia “Tanah Air Beta” bermain sebagai bunyi latar.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memohon maaf bagi pihak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan mencetak bendera negara itu.
Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 (Masoc) turut memohon maaf kepada semua rakyat Indonesia atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.
Khairy selaku pengerusi Masoc turut memohon maaf kepada rakan sejawatannya, Imam Nahrawi, dalam kunjungan hormat semalam.
Wisma Putra turut menyampaikan permohonan maaf kepada kerajaan Indonesia berhubung kesilapan itu.
Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, walaupun perkara itu sangat dikesali, namun rakyatnya diminta tidak bersikap berlebihan dan memperbesarkan isu itu.
Ratusan anggota beberapa pertubuhan hari ini mengadakan protes di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, dengan menuduh penganjur KL2017 sengaja mencetak bendera Indonesia secara terbalik. - FMT

[LAGU JALUR GEMILANG DILAUNGKAN] Sambutan Terhadap Tun M di Ipoh 'MENGGERUNKAN'


Lagu Jalur Gemilang dimainkan di Ceramah Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Ipoh anjuran Pakatan Harapan. Tun Dr Mahathir bersama dengan Presiden Pakatan Harapan, Dato Seri Wan Azizah dan Presiden Amanah, Tuan Haji Mohamad Sabu turut bersama menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan mengibarkan bendera.






[GILO APO] Isa kekal pemangku pengerusi SPAD, kata Nancy [ DAH TADO ORG LAIN DAH]

Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kekal sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.
Nancy berkata kedudukan Mohd Isa tidak harus dipertikaikan memandangkan beliau hanya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan dan tiada pertuduhan dikenakan.
Bagi kami, beliau masih pemangku pengerusi, kedudukan beliau masih lagi sama, lagipun kuasa melantik adalah di tangan perdana menteri.
Tidak timbul soal kena tunggu kes selesai kerana beliau belum dituduh dan tiada tuduhan pun, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lesen teksi individu kepada kumpulan ketiga di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) di ibu pejabat SPAD hari ini.
Beliau mengulas mengenai status Mohd Isa yang dibebaskan semalam selepas direman lima hari bagi membantu siasatan kes pembelian hotel di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Ketika ditanya bilakah Mohd Isa akan kembali ke pejabat, Nancy menjawab: Terpulang kepada beliau, bila-bila beliau mahu lagipun beliau bukan pengerusi eksekutif.
Beliau tidak perlu duduk di pejabat setiap hari. Sekarang kita ada pelbagai aplikasi seperti WhatsApp jadi mudah untuk berhubung atas urusan kerja.
Beliau berkata tiada sebarang sekatan dan terpulang kepada Mohd Isa untuk hadir ke mana-mana acara yang dijalankan oleh SPAD, dan sebaliknya ketidakhadiran beliau juga tidak mengganggu perjalanan tugasan suruhanjaya itu.
Mesyuarat juga boleh dijalankan meskipun tanpa kehadiran pengerusi, kalau tiada pengerusi, anggota suruhanjaya akan melantik di antara mereka untuk mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Kami menjalankan tugas macam biasa juga. Kita ada menteri, anggota suruhanjaya, ia tidak mengganggu tugas harian kami, katanya.
Pada majlis itu 300 pemandu teksi yang telah tamat tempoh perjanjian sewa-pajak di bawah syarikat teksi, menerima lesen individu dan 88 daripada penerima lesen itu turut menerima geran tunai kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baharu untuk digunakan sebagai teksi. - malaysiadateline

Kutip Sampah Selepas Perlawanan, Budaya PATUT DISOKONG


SEBAHAGIAN penyokong secara sukarela mengutip sampah yang ditinggalkan selepas aksi bola sepak Sukan SEA KL2017 antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Roslin Mat Tahir




Monday, August 21, 2017

POLIS BURU 8 INDIVIDU: Kecoh Nothing To Hide 2.0

POLIS sedang mengesan lapan lelaki bagi membantu siasatan kes insiden kekecohan program Nothing To Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7, Shah Alam, 13 Ogos lalu.
Individu itu dikenali sebagai Muhammad Hafiz Azhar, 29, Mohd Hafiz Azit, 28,
Donney Afzal Kaspullidzan, 27, Amar dan Is (nama gelaran) serta tiga individu lain yang belum dikenal pasti identiti.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, program anjuran ARMADA Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 3 petang itu dihadiri kira-kira 2,000 orang termasuk pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.
"Bagaimanapun, kira-kira 5.30 petang, berlaku insiden membaling sebuah kerusi ke arah pentas dan keadaan menjadi kecoh sehingga disusuli dengan rusuhan serta membakar suar.
"Berikutan insiden itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 15 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957," katanya hari ini
Menurutnya, tiga lelaki ditahan di tempat kejadian kerana disyaki terbabit dalam insiden berkenaan.
"Beberapa siri tangkapan dibuat di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menjadikan jumlah tangkapan setakat ini seramai 14 orang. Semua mereka direman untuk tindakan lanjut," katanya.
Fadzil berkata, polis mengenal pasti lapan individu berkenaan yang boleh membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399.
Harian Metro melaporkan forum itu bertukar kecoh dan tegang apabila suar, kerusi, kasut, selipar dan botol air 'berterbangan' ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap.
Forum yang pada mulanya aman bertukar tegang sehingga berlakunya lontaran beberapa objek selepas seorang penonton bertanyakan soalan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Keadaan itu menimbulkan panik kepada mereka yang hadir sehingga penonton bertindak berlari ke luar dewan untuk menyelamatkan diri dan beberapa orang turut dilaporkan cedera ketika kekecohan berlaku.
Suasana forum itu menjadi tegang apabila Dr Mahathir enggan menjawab soalan seorang hadirin yang bertanya sama ada sabitan kes liwat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika era pentadbirannya adalah benar atau hanya bermotifkan politik. - myMetro

[BENDERA TERBALIK] Hackers Indonesia SERANG Web Malaysia



Walaupun Putrajaya memohon maaf atas insiden bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam terbitan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), ia tidak meredakan kemarahan di kalangan rakyat negara itu, termasuk pakar IT yang dilaporkan menggodam 27 laman Malaysia, lapor sebuah portal media.
Portal berita Indonesia, Suara.com melaporkan penggodam daripada kumpulan “hacker rulez” menggodam 27 laman kebanyakannya milik persendirian dan blog perniagaan di Malaysia.
Antara laman yang menjadi mangsa ialah kualalumpurmalaysia.com, yang dimiliki penulis motivasi dan jutawan Azizi Ali.
Klik ke laman itu membawa pengunjung ke sebuah lagi laman milik Azizi, www.beahappymillionaire.com, yang kini tertera ayat “Bendera negaraku bukanlah mainan”.
Gambar daripada halaman buku rasmi Sukan SEA yang menjadi kontroversi itu juga dimuat naik, dengan lagu kebangsaan Indonesia “Tanah Air Beta” bermain sebagai bunyi latar.
Setakat pagi tadi, pelbagai mesej oleh penceroboh laman masih belum dikeluarkan.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyampaikan permohonan maaf bagi pihak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan melibatkan bendera negara itu.
“Ini adalah satukesilapan sangat besar dan saya bagi pihak tuan rumah mohon maaf kepada Bapak Imam dan seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan besar ini,” kata Khairy pada sidang media selepas pertemuan tertutup kira-kira 20 minit itu, selepas pendedahan bendera merah putih Indonesia didapati dicetak secara terbalik dalam buku khas cenderahati KL2017.
“Saya berharap atas semangat setiakawan, serumpun, permohonan maaf ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Indonesia dan juga rakyat Indonesia dan dapat terus bina hubungan baik antara kedua-dua negara,” kata Khairy. - FMT

[DIMALUKAN] FB Friends of BN yang Mahu 'PEKENA' Indon, DiMALUKAN


KENAPA page Friends of BN - Barisan Nasional nak mengatakan kesilapan cetakan 'penganjur Sukan SEA 2011' itu dari Indonesia ??

BUKANKAH cetakan itu sebenarnya yg tercatat dalam buku Sukan SEA 2017, yg ada slot tentang rekod² Sukan SEA yang terdahulu.

Jadi, memang ini salah dari pihak penganjur Sukan SEA 2017. Bukannya kesilapan yang dilakukan oleh pihak penganjur Sukan SEA 2011 iaitu Indonesia seperti yang dinyatakan oleh page FOBN.

Gambar yang diupload FOBN bukanlah salah pihak penganjur Sukan SEA 2011 (Indonesia), gambar kesilapan yang diambil dari buku Sukan SEA 2017 (Malaysia).

Inilah pe'el mereka (kuncu2 BN) bila pihak sendiri dah buat salah, org lain pula yg disalahkannya..

Kami di SR mewakili rakyat Malaysia juga merasa malu di atas kesilapan spt itu yg tak sepatutnya berlaku. - 
Suara Rakyat

https://www.facebook.com/frensofbn/posts/10155234515014998

PAS, Baliklah ke Jalan Benar: Pakatan Harapan, Pas perlu bersatu

Komen pemimpin UMNO Langkawi: Ingatlah PAS, mereka hanya mempergunakan kamu

KOTA BHARU - Cita-cita pembangkang mahu menawan negara hanya boleh terlaksana sekiranya pertandingan dua penjuru berlaku dalam PRU14 nanti.

Ketua Angkatan Muda PKR  Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal berkata, kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan jika berlaku pertembungan tiga penjuru pada, kemenangan akan berpihak kepada BN sekali gus menyebabkan kesengsaraan rakyat Malaysia.

"Melihat kepada kajian itu, kami dari PKR  cuba membuka rundingan bersama  Pas untuk memartabatkan Islam dan Melayu di negeri-negeri Pantai timur bagi merealisasikan pertembungan 1 lawan 1, akhirnya kemenangan berpihak kepada barisan pembangkang iaitu Pakatan Harapan dan Pas," katanya dalam satu kenyataan.

Hafidz turut menyeru pemimpin-pemimpin tertinggi Pakatan Harapan dan Pas meredakan tohmahan sesama sendiri dan membuka pintu rundingan untuk pilihan raya akan datang atas prinsip membela rakyat dan menumbangkan kleptokrasi Najib dan BN.

"Oleh itu kami mengajak rakyat Kelantan hadir dalam Pelancaran Pakatan Harapan Kelantan pada 25 Ogos ini di Machang untuk menunjuk keserasian dan kesungguhan sesama pemimpin Pakatan Harapan Kelantan," katanya.

Terdahulu, Hafidz berkata, PKR menghormati dan akur dengan arahan yang disampaikan oleh pengerusi Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Kadir  dan Biro Politik Pusat yang mengarahkan semua lantikan politik di Kelantan kekal.

"Kami melaksanakan tugas  semata-mata untuk berbakti kepada rakyat dan sekali gus menafikan dakwaan hanya menerima elaun atau kata-kata popular sekarang  iaitu dedak," kata beliau dalam kenyataan itu.

Beliau dalam masa yang sama berkata, pihaknya tetap memegang janji untuk memperkuatkan dan memperkasakan Pakatan Harapan Kelantan sekali gus merealisasikan agenda reformasi yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam fokus menumbangkan Umno dan BN.

"Sejarah selama 18 tahun berlakunya pertembungan politik yang hebat dan tajam antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar sehingga beliau meringkuk di Sungai Buluh selama 8 tahun dan hari ini kita semua dapat melihat rapatnya dua negarawan ini mengetepikan sengketa lama malahan bersatu padu di dalam pakatan harapan untuk menumbangkan Najib," katanya. - SH

Isa Samad Bukan Saksi, Tetapi Suspek - SPRM


PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad adalah seorang suspek kes yang disiasat ketika ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki berkata, apabila seseorang itu ditahan reman, bermakna individu terlibat disiasat.

"Tentunya dia seorang suspek. Jika seseorang itu ditahan, individu itu dianggap suspek," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Luar di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa Isa adalah saksi kes berkaitan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London dan Kuching.

Pada Ahad, peguam Isa, Datuk Khairul Anwar Rahman berkata, anak guamnya bukan suspek kes itu bagaimanapun dipanggil untuk membantu siasatan.

Isa ditahan pada Selasa lalu dan dibebaskan selepas tamat tempoh tahanan reman pada Ahad.

SPRM menyiasat pembelian hotel oleh FIC iaitu Hotel Grand Plaza Kensington, London dan Hotel Merdeka Palace di Kuching yang dikatakan melebihi nilai pasaran.

RCI TAKTIK Baru Lencongan, Pak Lebai Dedak Tumpang Semangkuk


Oleh: A Kadir Jasin


PEMBURUAN musuh politik oleh kerajaan kleptokrasi Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, telah bermula secara rasmi.

Banyak janji PRU 2013 tidak tertunai

(Kleptokrasi daripada bahasa Greek kuno yang membawa maksud pemerintahan oleh pencuri iaitu kerajaan yang dipimpin oleh ketua yang rasuah yang menggunakan kuasa mereka untuk memperalatkan rakyat jelata dan sumber alam negara demi memperkayakan diri sendiri dan membolot kuasa. Lazimnya sistem ini melibatkan penggelapan wang tanpa mempedulikan kebajikan rakyat. "Rule by thieves")[1][2] is a government with corrupt leaders (kleptocrats) that use their power to exploit the people and natural resources of their own territory in order to extend their personal wealth and political power. Typically this system involves embezzlement of funds at the expense of the wider population).

Kalau sebelum ini ia menggunakan propaganda politik dan putar-belit media terkawal, sekarang ia menggunakan kaedah   Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pula. RCI pertama adalah untuk menyiasat kerugian perniagaan mata wang (forex) Bank Negara pada tahun 1980-an.

Bank Negara rugi AS$10 bilion. Waktu itu kadar tukaran ringgit ialah sekitar RM2.5 bagi satu dolar Amerika. Perniagaan itu bertujuan mempertahankan nilai ringgit dengan menggunakan beberapa mata wang Eropah khususnya pound Inggeris dan mark Jerman.

Kecenderungan ke arah “witch hunting” (memburu ahli sihir) ini menjadi lebih nyata apabila Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan bersedia menimbangkan kemungkinan menubuhkan RCI bagi peristiwa Memali.

Saya rasa RCI Memali adalah baik untuk memahami bagaimana radikalisme, keganasan dan kultus (cult) boleh tercetus akibat dakwah songsang seperti perbuatan PAS mengkafirkan ahli dan penyokong Umno mulai PRU 1969 yang kemudiannya dimaktubkan menjadi doktrin dalam bentuk Amanat Haji Hadi tahun 1981.

Janji Tidak Ditepati

Nampaknya RCI adalah cara terbaru kerajaan kleptokrasi menakut-nakutkan rakyat jelata dan pada masa yang sama mengalih perhatian masyarakat daripada isu-isu pokok seperti kos sara hidup yang melambung akibat GST dan kejatuhan nilai ringgit, pemotongan peruntukan kesihatan dan pendidikan yang amat menyusahkan rakyat jelata, pengangguran yang semakin meningkat, khususnya di kalangan siswazah, skandal 1MDB, skandal Felda-FGV, Tabung Haji, KWSP, KWAP dan skandal-skandal seks yang menunggu untuk didedahkan.

Kerajaan kleptokrasi tajaan Umno/BN menjadi semakin terdesak dengan menjelangnya pilihan raya umum ke-14. Apa tidaknya. Boleh dikatakan semua janji utama dalam manifesto PRU 2013 bukan sahaja gagal dipenuhi sebaliknya yang bertentangan berlaku.

Misalnya janji 500,000 unit kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) menjelang 2018. Pada 10 Ogos lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim, memberitahu Parlimen bahawa sehingga Jun lepas hanya 8,475 unit siap dibina. Maknanya tidak sampai dua peratus atau lebih tepat hanya 1.7 peratus daripada yang dijanjikan.

Sama juga dengan janji menurunkan harga kenderaan bermotor 20 hingga 30 peratus dalam masa lima tahun, menambah bilangan Kedai 1Malaysia dan menjual satu juta barangan 1Malaysia di stesen minyak dan pasar raya hyper.

Kita lihat apa pula kelentong dan auta yang “ketua” manifesto BN, Abdul Rahman Dahlan, akan rangka untuk PRU ke-14 ini. Kerana mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib, Abdul Rahman diberi tugas merangkan manifesto BN.

Najib sangat bangga kononnya GST menyelamatkan negara. Saya tidak berapa yakin negara selamat. Hendak bayar ansuran hutang 1MDB pun terpaksa tangguh dan mengemis sana sini.

Tetapi apa yang kita semua sudah tahu ialah GST membebankan pengguna. Tahun ini Najib menyasarkan pungutan GST sebanyak RM42 bilion. Peduli apa rakyat jelata menderita. Bagi Najib, luka hati mereka boleh diubatkan dengan gula-gula pilihan raya. Dia terus percaya bahawa duit tunai adalah raja.
  
PRU 2013 lwn PRU Ke-14

Tanpa skandal 1MDB, Felda-FGV dan GST pun Najib dilanyak teruk dalam PRU 2013. Pencapaian beliau lebih buruk daripada prestasi Abdullah Ahmad Badawi dalam PRU 2008 apabila BN kehilangan kawalan dua pertiga ke atas Dewan Rakyat.

Janji manis berubah menjadi skandal dan bebanan
Pertimbangkan fakta berikut: 

1. Skandal 1MDB makin meruncing bagi Najib. Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) telah menaikkan tindakan ke atas duit curi 1MDB yang dilaburkan di Amerika daripada saman sivil kepada penyiasatan jenayah. Kedudukan Jho Low dan Riza Shahriz Abdul Aziz ibarat telur di hujung tanduk.

2. Najib lakukan tawaran awam permulaan (IPO) FGV pada tahun 2012 sebagai salah satu kempen mainan pasaran (market play) menjelang PRU 2013. Akibat prestasi hambar saham FGV, Felda menderita kerugian tidak nyata RM1.2 bilion daripada pelaburannya dan skandal rasuah FGV sudah sampai ke peringkat tangkapan.

3. Janji-janji manis kepada peneroka tidak tertunai. Banyak projek rumah generasi kedua terbengkalai atau tidak dimulakan langsung. Sebaliknya beban hutang peneroka terus melambungTimbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Razali Ibrahim, memberitahu Parlimen peneroka berhutang hampir RM5 bilion kepada Felda.

4. Keadaan sebenar dalam Tabung Haji terus merisaukan umat Islam yang menyimpan dan melabur dengannya. Pulangan tahun 2016 hanyalah 4.25 peratus bagi yang sudah menunaikan haji dan 5.75 peratus bagi yang belum. Ini adalah kadar paling rendah dalam masa 15 tahun.

5. KWSP rugi RM203.18 juta apabila menjual sahamnya dalam FGV dan ia juga memberi pinjaman berisiko sebanyak RM25.29 bilion kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd. Anak syarikat Kementerian Kewangan itu dibebani hutang yang sangat besar. PFI atau inisiatif pelaburan persendirian (private financing initiative) adalah cetusan minda Najib. Pada tahun 2015, kerajaan mengesahkan di Parlimen yang hutang Pembinaan PFI telah melambung kepada RM27 bilion. Dividen KWSP pun merosot juga.

6. KWAP atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) adalah badan yang mengurus caruman kerajaan persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain untuk pencen kakitangan awam. KWAP dilanda kontroversi apabila didedahkan yang ia memberi pinjaman RM4.4 bilion kepada sebuah lagi anak syarikat Kementerian Kewangan yang bermasalah iaitu SRC International Sdn Bhd. Seperti 1MDB, ia juga terlibat dalam siasatan rasuah yang ditamatkan oleh Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali.

Itu hanyalah sebahagian daripada krisis dan skandal yang melanda kerajaan kleptokrasi BN sejak PRU 2013. Modal PRU 2013 sudah tidak laku dan modal baru tidak ada. Jadi tidak hairanlah ia mengungkit cerita-cerita lama.

Tujuannya adalah mengalih pandangan daripada isu sebenar yang menekan hidup rakyat jelata dan mengabui mata generasi muda yang tidak tahu apa-apa mengenai peristiwa yang terjadi lebih 30 tahun lalu itu.

Fakta tidak boleh memenangkan BN lagi. Jadi terpaksalah menggunakan tipu-helah dan intimidasi.

Wallahuaklam.

Polis siasat gambar Shafie Apdal berbaju lokap SPRM

KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat laporan dibuat Parti Warisan Sabah (Warisan) berhubung sebuah artikel dan imej suntingan dalam talian yang menggambarkan Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pemuda Sepanggar, Norazmi Alimat dalam laporan polisnya berkata, pengguna bernama Hafizi Harris melalui satu catatan Facebook pada Sabtu lalu secara salah mendakwa Shafie dan Naib Presidennya, Peter Anthony ditahan SPRM.
Catatan itu didakwa dikongsi di www.masterdedah.com pada hari sama yang menunjukkan imej jelas disunting di mana 2 lelaki itu berbaju T oren yang biasanya dipakai suspek SPRM semasa prosiding mahkamah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Chandra Muthu ketika dihubungi berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Chandra berkata, polis dalam proses mengenal pasti pemilik akaun Facebook dan laman web itu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Warisan dalam kenyataan semalam berkata, Shafie menghadiri sebuah program menemui rakyat di Sipitang pada hari kejadian dan artikel serta gambar itu mencemarkan imej parti dan kepimpinannya.
Hasil pemeriksaan ketika laporan ini ditulis mendapati status dan gambar itu masih berada di akaun Facebook dan laman web berkenaan. - FMT

[PANAS] Pasukan Indonesia KELUAR GELANGGANG dakwa pengadil berat sebelah


video

KUALA LUMPUR: Indonesia mengambil pendirian drastik dengan menarik diri daripada meneruskan perlawanan set kedua acara antara regu sepak takraw wanita menentang Malaysia pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Tertutup Titiwangsa malam tadi.
Insiden tersebut berlaku sebagai tanda bantahan jurulatih Indonesia terhadap keputusan pengadil Singapura, Mohd Radhi Che Mei membatalkan 4 servis yang dilakukan oleh perejam Lena ketika mendahului set kedua dengan 16-10.
Tindakan Indonesia itu memberi kemenangan secara pembatalan 2-0 kepada Malaysia selepas pasukan tuan rumah menang set pembukaan dengan keputusan 22-20.
Pengadil membatalkan servis yang dilakukan oleh Lena kerana dikatakan melakukan kesalahan mengangkat kaki kiri ketika melakukan servis buat kali ke-4.
Tindakan itu lantas tidak disenangi jurulatih republik itu, Asry Syam, yang terus meluru masuk ke gelanggang dan membuat isyarat tangan bagi memberhentikan perlawanan.
Asry juga menarik semua pemainnya ke hujung gelanggang dan mengarahkan semua pemainnya meninggalkan gelanggang.
Asry dan semua pemainnya – Dini Mita Sari, Leni, Florensia Cristy, Lena dan Evana Rahmawati dan kemudiannya bertindak meninggalkan Stadium Titiwangsa itu dengan sebuah kenderaan.
Wartawan yang membuat liputan turut gagal mendapatkan reaksi jurulatih itu.
Malaysia dijadual bertemu Thailand esok dalam perlawanan terakhir liga sepusingan yang bakal menentukan siapa pemillik pingat emas acara berkenaan.
Malaysia dan Thailand masing-masing menang dua perlawanan sebelum ini.
Indonesia dijadual menentang Filipina pada perlawanan akhir sepusingan untuk menentukan pingat gangsa.
Hanya Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina mengambil bahagian pada acara itu.

Sunday, August 20, 2017

Tun M: Saya Dah 92 Th, Selagi sy ada, Sy janji MALAYSIA KEMBALI GEMILANG jika Pakatan ganti BN

KEPALA BATAS: Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji akan mengembalikan kegemilangan Malaysia jika Pakatan Harapan (PH) diberi mandat untuk menggantikan Barisan Nasional (BN) menerajui Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bekas perdana menteri berkata, sekiranya kerajaan di bawah kepimpinan PH ditubuhkan kelak menggantikan BN, kerajaan baharu akan ditadbir dengan “berwibawa” sepertimana pentadbirannya selama 22 tahun sehingga 2003.
“Saya janji, selagi saya ada, sekarang ini saya sudah 92 tahun. Apabila kita tubuh kerajaan baharu, kita akan kembalikan keadaan sebelum kerajaan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Kami akan dirikan kerajaan berwibawa dan akan kembalikan negara ini sebagai negara yang dihormati di seluruh dunia,” kata beliau yang juga pengerusi PH dalam ceramah Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat, di Kepala Batas, malam tadi.
Dua hari lalu di Permatang Pauh, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengimbau kembali gelaran yang pernah diberikan kepada Dr Mahathir iaitu sebagai maha firaun, maha zalim.
Gelaran itu diberikan kepada Dr Mahathir kerana mengkritik cara pentadbirannya yang dikatakan bercorak diktator.
Dr Mahathir yang mengkritik lantang kepimpinan Najib telah keluar dari Umno tahun lalu.
Beliau yang juga pengerusi PPBM memberitahu, beliau bukannya diktator kerana beliau sendiri secara sukarela meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003.
Dr Mahathir berkata, sekiranya diberikan umur panjang untuk melihat negara ditabdir PH, beliau sendiri sanggup menyumbangkan keringat bagi membawa negara ke arah lebih baik.
“Saya dah 92, hendak bercakap pun tidak larat, hendak berdiri lama pun tidak boleh. Tetapi kalau hendak suruh buat kerja, masih boleh buat kerja. Insya-Allah,” katanya.
Dr Mahathir bagaimanapun tidak menjelaskan definisi khusus kerja yang dimaksudkan itu. - FMT

[CERITA SEBENAR WARTAWAN LOKASI] Seminggu Selepas Suar, Kerusi, Kasut TERBANG

ULASAN |
 Seminggu lalu, pada hari ini ia berlaku. Namun selepas tujuh hari bau asap suar seakan-akan masih melekat di pakaian. Imej-imej kasut, selipar dan kerusi terbang masih jelas terbayang dalam kepala seolah-olah ia baru semalam terjadi.

Sebagai wartawan ditugaskan untuk melaporkan program Nothing To Hide 2.0 itu, ia adalah tanggungjawab yang berat, berdasarkan pengalaman melaporkan Nothing To Hide pertama di PWTC dulu.
Dua tahun lalu, bekas perdana menteri selama 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad hanya sempat berucap kira-kira lima minit sebelum polis menamatkan ucapannya dan diiring keluar dari forum itu.
Hati berbisik: sesuatu akan berlaku.

Hari ini pada minggu lalu rupa-rupanya aku akan menulis sejarah buat tokoh yang digelar pengagumnya sebagai Bapa Pembangunan Negara.
Pada hari kejadian, aku tiba lebih awal ke lokasi forum di Seksyen 7 Shah Alam. Disebabkan masih ada waktu, aku memerhatikan peserta yang hadir dan mendaftar.
Biasa-biasa saja mereka, kecuali sekumpulan remaja yang aku jangka berusia lingkungan 20 tahun.

Ia agak pelik kerana pada usia begitu mereka hadir. Pada tangan sesetengah mereka kelihatan gumpalan kain merah yang kemudian kulihat adalah baju T bertulis ARMADA.
Sebahagian daripada mereka pula lebih pelik - berkaca mata tanpa cermin.
Aku sempat tergelak kecil kerana fesyen rambut yang digayakan mereka pelik dan jelik. Ada yang botak di depan tapi berekor di belakang, ada juga yang berambut namun dibuat beberapa garisan halus dikepala.
Ah fesyen anak muda masa kini, dugaku.
Tak ada reaksi
Kira-kira jam 3.30 petang, aku masuk ke dewan. Semua peserta sudah siap mengambil tempat. Aku anggarkan sekitar 500 orang memenuhi dewan yang disusun ala dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) idea Datuk Seri Najib Razak.
Beberapa ruang dipecah-pecah, dengan satu ruang khas untuk delegasi tetamu undangan; satu bahagian lagi, ruang khas untuk pengamal media; manakala beberapa baris kerusi kelabu disusun di belakang pentas, untuk pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Dr Mahathir yang mengenakan baju warna tema Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) mengambil tempat di bahagian tengah manakala sebuah kerusi lagi ditandakan dengan nama “Najib Razak” dibiarkan kosong.
Dr Mahathir, usianya sudah 92 tahun, tapi dia tetap kelihatan sihat, bersemangat dan tiada tongkat menyokongnya. Dia masih dapat berdiri dengan tegap.

Sesi soal jawab itu pada mulanya berlangsung dengan aman dan santai. Dr Mahathir menjawab setiap persoalan dengan bersahaja.
Namun, aku sempat memerhatikan gelagat anak muda yang aku jumpa di meja pendaftaran sebentar tadi. Mereka tidak memberi sebarang reaksi terhadap jawapan Dr Mahathir sehinggalah soalan berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim diajukan kepadanya.
Tiba-tiba penyelaras program itu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menghampiriku dan memaklumkan, terdapat kumpulan remaja yang bukan dari parti itu di situ.
Dia juga memintaku untuk memerhati keadaan sekeliling.
Pada ketika itu, individu bernama Fariz Hadi bertanyakan soalan mengenai Anwar dan apakah Dr Mahathir sedia untuk meminta maaf kerana memenjarakan bekas timbalannya itu.
Tak dapat dibendung
Selepas soalan diajukan kepadanya, kedengaran tepukan tangan dari kumpulan remaja pelij tadi meskipun Dr Mahathir masih belum memberikan jawapan.
"Saya jumpa dengan Anwar. Yang peliknya dia tidak tanya soalan itu. Anwar tidak tegur saya buat aniaya kepada dia atau tidak. Itu (isu tuduhan mahkamah) perkara lama.
"Kalau kita nak ungkit perkara lama, sampai sudah tak habis. Saya jumpa Anwar banyak kali, Anwar tak minta pun saya minta maaf,” kata Dr Mahathir, menyebabkan keadaan sedikit tegang.

Kemuncaknya tiba apabila bekas exco ARMADA Mohamad Taufik Abas bertanyakan mengenai kejadian Memali yang berlaku 32 tahun dahulu.
Dr Mahathir mempertahankan tindakan polis dalam tragedi pada 1985, menyebabkan 'kemarahan' sebahagian peserta forum itu tidak dapat dibendung.
Maka terjadilah aksi baling kasut, suar dan kerusi kepada bekas perdana menteri itu.
Pada ketika itu aku yang berada dari arah kanan pentas melihat kasut bewarna hitam terbang ke arah Dr Mahathir, diiukuti selipar dan akhirnya suar, menyebabkan petugas keselamatan program berkerumun kearah Dr Mahathir dan cuba membawanya keluar dari situ.
Dewan kecoh, pihak keselamatan cuba menangkap orang yang mula-mula membaling kasut, selipar dan suar itu. Maka berlaku pergaduhan di dalam dewan itu.
Di sebelah kawasan pengamal media pula, jurufoto dan juruvideo berlari laju kearah suar tersebut bagi mengambil imej terbaik, manakala wartawan pula turut memerhatikan keadaan sekeliling.
Siapa halang pintu
Dalam keadaan yang kecoh itu itu, asap dari suar mula memenuhi dewan kecil itu, dan aku dan rakan wartawan meja bahasa Cina, Yap Jia Hee, tidak ada pilihan yang banyak selain cuba keluar dari pintu yang paling hampir dengan kami, iaitu pintu belakang.
Ketika itu, pengawal keselamatan cuba menolak daun pintu bagi membolehkan kami serta suami isteri yang membawa anak lelaki berumur dalam lingkungan 5 hingga 6 tahun keluar.
Pelik lagi - ada beberapa individu yang menghalang kami dari keluar dengan menahan daun pintu.
Maka berlakulah tolak-menolak dari dua arah.
Setelah berjaya keluar, aku mendapati pergaduhan masih belum selesai, malah turut kelihatan remaja yang berlari sambil membuka baju ARMADA dan membuangnya sebelum keluar dari pagar bangunan itu.

Dalam kekecohan itu, ada tiga remaja lelaki ditahan kerana dipercayai mencetuskan kekecohan, namun satu lagi kepelikan - tidak kelihatan anggota polis mengawal keadaan.
Seorang teman wartawanku Radzi Razak turut cedera terkena kerusi ketika kejadian itu berlaku.
Dalam sidang media selepas itu Ketua ARMADA Syed Saddiq berkata Dr Mahathir tidak mengelami sebarang kecederaan serta meminta supaya perjuangan mereka diteruskan.
Habis di situ, aku pulang dengan keadaan lesu, dan aku jangka minggu ini suasana berita akan terus dihangatkan dengan innsiden Nothing to Hide 2.0.
Pelik dan pelik
Memang benarlah. PAS menuntut suatu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan. Parti itu menegaskan tujuannya bukan untuk membuat serangan peribadi kepada Dr Mahathir.
PAS juga menuntut supaya Dr Mahathir membuat permohonan maaf sekiranya beliau memang tidak terlibatdalam insiden yang menyebabkan hampir 20 orang terbunuh lebih tiga dekad lalu. Pun pelik juga.
Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos turut mengadakan sidang media dan membuat pengumumam bahawa dia mahu menganjurkan Nothing To Hide 0.3. Lagu satu pelik walaupun tidaklah terlalu pelik.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang medianya juga turut berkata pihaknya tidak mengawal keadaan memandangkan penganjur program itu tidak menjemput mereka mengawal keselamatan.

Katanya, anggota polis hanya mengawal di luar Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam sahaja ketika majlis berlangsung.
Khalid turut mengesahkan seramai 13 pesalah telah ditahan serta pihaknya juga akan mengambil tindakan kepada penganjur yang gagal menjamin keselamatan peserta.
Dr Mahathir dalam sebuah rakaman video berkata beliau tidak sesekali gentar dengan apa yang berlaku malah terus bersedia menghadapi cabaran dalam politik.
Bekas perdana menteri keempat itu turut menasihati semua penyokongnya serta parti pembangkang lain supaya terus berani dalam berhadapan dengan cabaran politik dalam menjatuhkan Najib.
Kesudahan kekecohan selepas Nothing To Hide nampaknya belum tiba. Namun memang ada beberapa isu yang perlu diuruskan. Bilakah episod ini akan selesai adalah isu lain yang menarik untuk ditunggu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com