innity

pages

Sunday, August 13, 2017

Memang Tidak Penting Bahasa Melayu Bagi Kamu yang Tidak Cintakan Negara

A KADIR JASIN
TENTU ada orang akan mengatakan bahawa isu penggunaan bahasa Cina (Mandarin) yang begitu ketara di upacara pecah tanah Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Pahang baru-baru ini sengaja diperbesar-besarkan.

Seperti yang umum sudah tahu melalui media massa, terutama media sosial, Mandarin digunakan secara meluas dalam bentuk lisan dan tulisan pada majlis itu bersebelahan dengan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris pun tidak begitu menonjol.

Memanglah isu itu remeh kalau kita tidak peduli mengenai kedaulatan negara atau tidak faham ertinya. Antara komponen penting menyokong kedaulatan negara kita  yang merdeka adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tak tahulah saya mungkin sudah ada orang di Malaysia ini, sama ada warganegara atau pendatang, yang tidak lagi berasa perlu menghormati bahasa kebangsaan. Saya tak terkejut kalau ada orang macam itu.

Sekalipun kita mengakui bahawa majlis itu menggabungkan Malaysia dan China dan bahasa kedua-dua buah negara perlu diberi tempat, namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menonjolkan Mandarin seolah-olah ia setaraf dengan bahasa Melayu.

Namun begitu saya sedikit pun tidak hairan berlakunya perkara tersebut kerana beberapa sebab. Antaranya,  tidak ada lagi pejuang tulen bahasa yang tahu dan terbabit dengan perjuangan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan.

Di peringkat pelaksanaan pula, badan-badan kerajaan yang diberi amanah memartabatkan dan melindungi bahasa Melayu tidak cukup gigih menjalankan tugas. Saya rasa sama ada mereka tidak ambil berat tugas  atau mereka menderita kompleks rendah diri.

Kita tahulah  upacara  pecah tanah itu sangat penting bagi sesetengah pihak dan mereka hendak memberi muka kepada China kerana negara itu meminjamkan RM55 bilion bagi melaksanakan projek tersebut. Tetapi matlamat itu pastinya boleh dicapai tanpa merendahkan mar-tabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dari aspek komunikasi dan propaganda, apa yang berlaku pada majlis itu tidaklah menguntungkan pihak terlibat. Sebaliknya panji-panji, sepanduk dan penghebahan dalam bahasa Mandarin mengalih perhatian khalayak daripada matlamat asal.

Melainkan kita bangang, kita tentu tahu wujudnya sensitiviti dalam kalangan sebahagian besar masyarakat kita terhadap kemunculan China sebagai kuasa ekonomi yang dominan di Malaysia.

Sebuah analisis dalam akhbar South China Morning Post (SCMP) mengatakan hutang dan pelaburan China di Malaysia boleh mempengaruhi hasil pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Akhbar berbahasa Inggeris Hong Kong itu berkata, syarikat-syarikat milik negara dan swasta China kini terlibat memberi pinjaman, melabur dan melaksanakan projek bernilai RM400 bilion di Malaysia.

Ia meramalkan bahawa pergantungan Malaysia yang semakin besar kepada China akan memberi kesan terhadap politik negara kita, khususnya kepada PRU.

Analisis SCMP itu selari dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin kerajaan Malaysia yang menguar-uarkan ECRL, khususnya dan kerjasama dengan China amnya sebagai kejayaan besar.

Yang lebih memeranjatkan dan menimbulkan tanda tanya mengenai pendirian dan niat sebenar China terhadap Malaysia adalah tawaran pinjaman murah untuk membeli sistem peluru berpandu buatan China.

Sumber-sumber yang dipetik oleh portal berita Malaysian Insight mengatakan tawaran China itu dibuat melalui wakil Presiden Xi Jinping ke majlis pecah tanah ECRL. Khabarnya China bersedia menawarkan pinjaman faedah rendah 50 tahun untuk membeli senjata tersebut.

Soalnya siapakah yang hendak kita tembak dengan peluru ber-pandu itu? Sekalipun tidak ada siapa yang hendak kita tembak, namun tawaran China itu pasti akan mencetuskan reaksi negatif daripada negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan India yang semuanya tidak begitu mempercayai China.

Dalam keadaan di mana China sedang secara cergas dan terbuka meluaskan pengaruh politik, ekonomi dan ketenteraannya, adalah amat baik bagi kita berhati-hati dan berwaspada supaya tidak timbul anggapan dan tanggapan bahawa kita tidak peduli lagi kepada isu-isu berkaitan kebebasan dan kedaulatan.

Lebih-lebih lagi dengan anggapan dan tanggapan bahawa kita kini terlalu bergantung dan menyerah kepada sebuah kuasa luar dan tidak peduli lagi kepada dasar berkecuali yang diasaskan oleh Almarhum Tun Abdul Razak Hussein.
Pisang berbuah dua kali petani untung, tetapi kalau hutang kita yang begitu besar dengan China bertukar menjadi amalan padi kunca moden, kita akan rugi. Kita akan selama-lamanya tunduk kepada China seperti Raja-raja Melayu silam yang menghantar bunga emas kepada Raja China. 

Wallahuaklam.

5 comments:

  1. Dalam sejarah Negara China, tak pernah Kerajaan China menjajah negara lain. Menjalin perdagangan dengan negara-negara lain memang amalan biasa mereka.

    Oleh kerana baiknya hubungan antara Kerajaan Melaka dan Kerajaan China. Melaka telah dilindungi oleh Kerajaan China daripada Kerajaan Siam yang telah cuba menjajah Melaka sebanyak beberapakali.

    Penghantaran bunga emas setiap tahun bukanlah kepada China tetapi kepada Kerajaan Siam oleh negeri-negeri di utara tanahair.

    Saya percaya dengan kewibawaan, kejujuran, ketenangan DS Najib kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China akan membuahkan hasil yang lumayan untuk dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Tiada lagi urusniaga-urusniaga yang hanya menguntungkan anak-anak dan kroni-kroni.

    Wallahualam...

    ReplyDelete
    Replies
    1. china x pernah menjajah negara lain?ko pernah dengar x penaklukan tibet 1949?ko tau tak yang china menuntut hak kedaulatan hampir keseluruhan laut china selatan yang melibatkan lautan malaysia, filipina vietnam dll?dalam menuntut hak kedaulatan ini, china ternyata bertindak dengan sangat agresif dan offensif dengan membina pulau2 buatan yang besar2 dan membina pangkalan tentera atas pulau2 tu?adakah pada kau ini bukan satu tindakan penjajahan?pada aku, kalau bukan penjajahan ini dipanggil 'cubaan untuk menjajah oleh china'pada masa yang sama,china cuba menjajah kuasa ekonomi kita dahulu..

      Delete
  2. Pembelian/pembekalan alatan ketenteraan daripada China sepatutnya dialu-alukan. Produk-produk ketenteraan seperti peluru berpandu tidak sahaja tetapi berkualiti. Bukan itu sahaja, kita akan dapat menikmati perpindahan teknologi yang gagal dilaksanakan oleh PM-22 tahun contohnya Proton.

    Dari segi pertahanan, kekuatan kita mestilah sentiasa dipertingkatkan daripada semasa ke samasa. Buat masa ini tentera kita hanya ada peluru berpandu VSHORAD menyebabkan ruang udara kita terdedah kepada ancaman musuh tak kira siapa mereka itu.

    Janganlah sudah terantuk baru tengadah. Bila dah terantuk, nasi sudah jadi bubur. Masa tu menangis airmata darah pun tak berguna lagi.

    Tegurlah dengan ikhlas jangan ada niat jahat yang tersembunyi.

    Wallahualam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. bukan satu tindakan yang bijak untuk membeli senjata dengan pihak yang kita bertikai dengannya..pihak yang yang jual senjata tu akan tahu inventori senjata dan keupayaan kita setakat mana.contoh,jika kita beli senapang sebanyak 50,000 laras, orang yang menjual dapat mengagak berapa ramai jumlah tentera yang kita ada dengan dinisbahkan dengan jumlah penduduk dan keluasan negara (ini contoh simple,kalo nak lebih tau, rujuk pakar ketenteraan).Malaysia terlibat dengan pertikaian hak kedaulatan laut china selatan dengan China.

      Delete
  3. Penggunaan bahasa china adalah sebahagian dari sebaran ideologi negara china untuk menunjukkan bahawa malaysia dibawah pentadbiran najib sudah kow tow atau sudah berada di bawah telunjuk genggaman negara kominis.

    Malaysia seperti juga dengan sri lanka,laos, kemboja, filipina dan beberapa negara afrika sudah pun hidup di bawah naungan dan gengaman apa yg dinamakan "negara satelit" china.

    Malaysia akan di perah ekonominya, menjadi lambakan barangan tiada kualiti negara china, mengimpot bahan2, pekerja dan buruh dari negara china kebanyakan terdiri dari bekas banduan dan lebih bahaya adalah ideologi politik kominis. Ideologi Politik kominis bermakna malaysia sudah tiada suara, tiada kebebasan, hidup dibawah telunjuk kominis seperti mana terjadi di negara laos, kemboja dan filipina.

    Amat memalukan, mengaibkan dan amat tidak bermaruah sama sekali apabila umno najib mengembar gemburkan, mencanang bahawasanya DAP itu adalah cina kominis.

    Sesungguhnya DAP tidak pernah mencuri dan menyamun wang negara, tidak pernah menjual hak dan harta orang melayu serta agama islam di muliakan.

    Hari ini melihat P.Pinang ditadbir DAP, tidak pernah suara azan diperlahankan, masjid, suarau, imam dan sekolah tahfiz dipelihara, diberi bantuan kewangan manakala pelajar diberi bantuan biasiswa sehingga menyebabkan parti MCA dan Gerakan amat marah terhadap DAP.

    Bagaimana pula dengan umno najib?

    Jika pemimpin memerintah yg ada hari ini berbohong merata rata, tiada maruah, mencuri dan menyamun, menjual harta, aset kepunyaan rakyat malaysia dan berkhalwat pula dengan negara kominis china...

    Apakah dan bagaimanakah masa depan anak anak kita di masa hadapan?

    Ternyata hari ini pelbagai bala dan malapetaka sudah, sedang dan akan terus berlaku di negara Malaysia ini.

    Ini pengajaran dari Allah SWT.

    Lakukan sesuatu wahai rakyat malaysia sekalian, lakukan perubahan segera demi masa depan negara! Kuasa ditangan kita dan demi Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kita sendiri!

    Ubahlah! Jangan hanya menentukan nasib, qada dan qadar sahaja.

    Tumbangkan umno najib!

    Ya Allah selamatkanlah negaraku!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com